Selasa, 31 Desember 2013

Browse Manual » Wiring » » » » » » » » Diburu polis kerana bawa gambar Dr Burhanuddin

Diburu polis kerana bawa gambar Dr Burhanuddin

Harakahdaily

Abdul Aziz Mustafa, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Jika saya membawa gambar Dr Burhanuddin Al Helmy dalam sambutan Hari Merdeka, adakah saya akan dituduh menghina Tunku Abdul Rahman dan selepas itu diburu polis?

Demikian pertanyaan spontan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) ketika ditanya mengenai kontroversi pengibaran bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan rakyat pada malam Hari Merdeka baru-baru ini.

"Jalur Gemilang kita hormat. Tetapi proses menuntut kemerdekaan juga mesti kita hormati dan kita kenang sebagai tanda terhutang budi kita kepada mereka yang terlibat dalam perjuangan tersebut," katanya.

Menurut Mohamad, Sang Saka Malaya adalah sebahagian dari peristiwa dan proses menuntut kemerdekaan.

"Mengibarkan Sang Saka Malaya adalah salah satu cara untuk mengenang dan menyanjung perjuangan dan proses menuntut kemerdekaan dan adalah tidak siuman jika sanjungan sedemikian dianggap jenayah dan mereka yang terlibat diburu seperti penjenayah," katanya.

Mohamad seterusnya menjelaskan, ia sama seperti kita menghormati Tunku yang terkenal dengan panggilan Bapa Kemerdekaan.

"Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh menghormati tokoh-tokoh lain yang menuntut kemerdekaan dan penghormatan kepada mereka tidak sama sekali bermakna kita menghina Tunku.

"Kalau ikut otak sempit dan dangkal para pemimpin Umno yang histeria terhadap pengibaran Sang Saka Malaya itu, saya akan dianggap menghina Tunku dan diburu seperti penjenayah kalau saya bawa gambar Dr Burhanuddin dalam sambutan Hari Merdeka," katanya.

Menurut Mohamad, banyak tokoh lain yang terlibat memperjuangkan kemerdekaan tanah air kita dari penjajahan British seperti Dr Burhanuddin sendiri, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan ramai lagi.

"Ada di antara mereka yang dipenjarakan oleh penjajah British malah ramai dibunuh.

"Adakah kita tidak boleh menyanjung dan mengenang mereka dan hanya boleh memperingati tokoh-tokoh yang dikehendaki oleh sejarah versi Umno sahaja?" beliau mempersoalkan.

Mengulas lanjut mengenai pengibaran bendera yang menjadi sebahagian dari proses menuntut kemerdekaan itu, Mohamad berkata, bendera Sang Saka Merah Putih pernah dibawa oleh para perwakilan Malaya sebagai bendera negara dalam Persidangan Solidariti Afro-Asia di New Delhi pada tahun 1947.

"Oleh kerana Umno merasa terancam sangat dengan pengibaran Sang Saka Malaya, kenapa tidak arahkan polis buru perwakilan Malaya yang bawa bendera Sang Saka Merah Putih ke persidangan Solidariti Afro-Asia itu?" kata beliau sinis.

Mohamad melihat histeria Umno terhadap pengibaran Sang Saka Malaya itu akan menguatkan semangat rakyat untuk terus mencabar versi yang dipaksakan oleh Umno mengenai sejarah negara ini.

"Akhirnya semakin ramai rakyat akan sedar dan tahu siapa yang menaja penubuhan Umno dan mengapa ia ditubuhkan," katanya lagi.

Setakat ini, polis masih tidak menghentikan tindakan memburu mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam Hari Merdeka itu.

Menurut kenyataan dalam Facebook Bukit Aman, Ketua Polis Negara memandang serius perbuatan itu kerana "ia bercanggah dengan perlembagaan dan proses demokrasi".

Tidak ada komentar:

Posting Komentar